Laluan Jerantut - Benta menjadi pilihanku ketika bercuti di Cameron Highlands bersama isteri Mahirah Zakaria, puteri kami Aisya Maima dan syurga, bonda tercinta.
Laluan yang hanya mengambil masa 3 jam 30 minit ini menjadi pilihan kerana pada ketika itu kami bertolak dari teratak bonda di Jenderak Utara, Kuala Krau. Bagi mereka yang tidak tahu, pekan kecil Kuala Krau merupakan titik tengah Temerloh - Jerantut.
Memulakan perjalanan pada jam 8 pagi dan berhenti singgah di bandar Jerantut 30 minit kemudian. Di sini, kami berhenti minum pagi bersama abangku dan keluarganya di medan selera berdekatan dengan tapak pasar tani.
Perjalanan kami diteruskan dengan dipacu oleh kenderaan sedan kesayanganku - Encik Blacky sambil menetapkan kelajuan dalam lingkungan 80-100km/j.
Suasana sepanjang perjalanan, kami dapati tidak banyak kenderaan yang melalui laluan Jerantut - Benta ini sekaligus mengundang sedikit perasaan resah.
Namun, ia cukup indah dan menarik apabila dapat menyusuri kawasan-kawasan perkampungan. Oh ya, kami juga terserempak dengan pasangan pelancong asing dari barat yang turut menggunakan laluan ini. Mereka menggunakan basikal sebagai kenderaan pemacu!
Selepas kawasan perkampungan dan sekali sekala kawasan hutan, laluan ini juga menghubungkan dengan gugusan atau tanah rancangan Felda, Sungai Koyan.
Bandar atau pekan yang paling hampir di kawasan ini ialah Kuala Lipis dan Raub.
Nah! Papan tanda arah ke Cameron Highlands sudah terpampang di bahu jalan. Masa untuk mula mendaki....
Sedia maklum, Cameron Highlands diduduki masyarakat berbilang kaum. Antara yang paling ramai ialah kaum Orang Asli. Maka tidak hairanlah wujud perkampungan-perkampungan mereka disepanjang laluan mendaki ke puncak Cameron Highlands ini.
Sedikit latarbelakang mengenai Cameron Highlands yang dipetik daripada portal rasmi Majlis Daerahnya;
"William Cameron yang berkhidmat sebagai juruukur kerajaan semasa pemerintahan British telah menemui Cameron Highlands semasa membuat ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa pada tahun 1885.
"Kawasan tersebut kemudiannya dibangunkan sebagai Hill Station oleh pihak kerajaan semasa itu. Diwujudkan sebagai pentadbiran daerah yang tersendiri selepas perang dunia kedua. Majlis Daerah Cameron Highlands ditadbir oleh sebuah jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pembangunan Cameron Highlands sehingga penghujung tahun 1931.
Kemudian Cameron Highlands ditadbir oleh seorang Penolong Pegawai Daerah yang dilantik di bawah pengawasan Pegawai Daerah Lipis."
Sementara menurut Wikipedia, Cameron Highlands atau Tanah Tinggi Cameron merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia. Cameron Highland terletak di barat daya negeri Pahang, sebuah negeri yang kaya dengan khazanah hutan semula jadinya. Cameron Highland terletak setinggi 1,829 meter dari aras laut dan bersuhu antara 100c hingga 200c.
Ya, bila kita naik sahaja di kawasan bukit ini, bolehlah mematikan suis penghawa dingin kenderaan anda.
Dalam percutian kami, isteri sudah menempah bilik hotel seminggu awal. Iyalah, 'peak hour' iaitu cuti umum di Kuala Lumpur sempena Hari Wilayah. Diikutkan, bilik hotel sudah pun penuh. Kebanyakkan pengunjung sudah menempah sebulan awal. Tetapi kami berjaya juga mendapatkan sebuah bilik 'superio' di Hotel Titiwangsa yang terletak di Brinchang.
Alhamdulillah, kami sampai ke Berinchang tepat jam 2pm. Pada ketika itu jalanraya utama sekitar puncak Cameron Highlands sudahpun mengalami kesesakan lalulintas. Kebanyakkannya menuju ke arah Tapah.
Puteri kami Aisya Maima mula menunjukkan rasa bosan akibat berada terlalu lama di dalam kereta. Kami kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti seketika 'pekena' teh panas. Rupa-rupanya tempat yang kami hendak singgah itu sebenarnya Hotel Titiwangsa! Mudah benar menemukan hotel ini yang berada di tepi jalan utama tanpa perlu mencarinya.
Daftar masuk diikutkan pada jam 3 petang. Tapi aku biasalah, suka bertanya.
"Sudah boleh 'check-in' sekarang ke" soalku pada penyambut tetamu hotel.
"Iya, boleh," jawapan yang diterima.
Fuh lega! Masa singkat yang ada digunakan sebaiknya untuk berehat menghilangkan lenguh-lenguh badan. Aisya Maima melompat-lompat dalam dakapan ibunya tanda gembira. Dapatlah dia berehat guling-guling atas katil menghilangkan rasa penat. Huhuhu.
Dua jam kemudian, kami mendaki lagi menuju ke atas. (Ada ke mendaki menurun?) hehehe
Kami kemudiannya berkunjung ke bazar jualan berhadapan dengan Ibupejabat Polis Cameron Highlands. Seterusnya bersiar-siar di tapak pasar malam. Si isteri jatuh cinta pada ais krim strawberi. Disuruhnya beli kali kedua sehingga menyebabkan aku turut terjebak dengan cinta aiskrim strawberi RM1.
Bonda pula rambang mata pada jualan sayur-sayuran. Lapan bungkus sayur aneka jenis cuma berharga RM10.
Aisya Maima pula macam biasalah dengan sikap ramah tamahnya. Habis semua pengunjung yang berselisih dengannya akan ditegur dengan lirikan senyuman. Sampaikan seorang makcik berpatah semula kepada kami sementara sekumpulan remaja mengerumuni selepas 'ditegur' Maima.
Menjelang senja, kami pulang ke hotel yang tidak jauh dari pasar malam tersebut. Cukup dekat, kata orang, kentut pun boleh dengar. Tapi kalau berjalan kaki, basah juga ketiak setitis dua. Huhuhu.
Tempat penginapan kami di Hotel Titiwangsa ini juga menyediakan hidangan makan malam. Menunya, 'steamboat'.
Kalau di tempat lain, kita boleh 'refill' lauk. Tetapi di Cameron Highlands ini, kita boleh 'refill' pelbagai jenis sayur-sayuran. Isteri aku begitu menggemari sayur-sayuran. Seronok aku melihat dia rambang mata memilih sayur-sayuran kegemarannya.
Hari kedua di Cameron Highlands
Aku diraikan sempena ulangtahun kelahiran oleh insan yang paling aku sayang iaitu bonda, isteri dan anakku.
Syukur Alhamdulillah, aku dilahir, dibesarkan, dibelai dan diasuh dengan sempurna oleh kedua orang tuaku. Seterusnya dicintai oleh isteri yang aku kasihi bersama kebahagiaan disamping puteri yang hidup dalam kenikmatan - Aisya Maima. Terima kasih. Ya Allah ya Tuhanku, aku bersyukur dengan kurniaan dariMu.
Menyambung jurnal #kisahAMMZ dalam percutian ke Cameron Highlands... Kami daftar keluar daripada hotel kira-kira jam 11.30pagi.
Sudah jejak kaki ke Cameron Highlands, tak sah kalau tidak singgah di ladang teh.
Dalam perjalanan pulang ke kediaman bonda, kami singgah seketika di ladang teh yang sememangnya menjadi mercu kebanggaan Cameron Highlands.
Sementara 'Bee Farm' pula menjadi destinasi kami seterusnya. Agak kecewa apabila kehadiran kami tidak disambut dengan 'nyalaan' strawberi nan merah. Kata kakitangan yang bertugas di sini, buah baharu sahaja dipetik sehingga habis. Jadi tidaklah dapat untuk kami dan pengunjung lain merasai pengalaman memetik sendiri buah strawberi di sini. Tidak mengapalah, setidak-tidaknya dapat juga melihat secara dekat kumpulan lebah yang terdapat di Bee Farm ini.
Tepat jam 2pm, aku telah mengarahkan Encik Blacky untuk membawa kami pulang bersama kenangan terindah di Cameron Highlands.
*Si Otai Nikon D40 direhatkan akibat kembung perut.
*Foto dirakamkan oleh Oppo Find 7A dan Iphone 5.
No comments:
Post a Comment