Nuffnang Ads

Sunday, August 14, 2016

#AisyaMaima naik tren


7 Ogos 2016 lalu, aku dan isteri Mahirah Zakaria membawa puteri kesayangan Aisya Maima, 10 bulan, menaiki pengangkutan awam yang paling popular di ibunegara, Transit Aliran Ringan - LRT.

Selepas Zohor iaitu kira-kira jam 2.00 petang, kami menggunakan khidmat Encik Blacky untuk menuju ke Stesen LRT Gombak - Laluan Kelana Jaya.


Sebaik memasuki perkarangan parkir, aku sedikit kecewa kerana tidak dapat meletakkan kenderaan di dalam bangunan parkir yang dibina bertingkat-tingkat itu. Semuanya memerlukan kad khas (ntah apa nama dia) untuk mengakses masuk.

Aku cuma ada kad Touch n Go saja. Bila ditanya, pengawal keselamatan menyuruh aku membeli kad tersebut terlebih dahulu. Ianya tidak ada dijual dipintu masuk bangunan parkir.

Tidak mengapalah, aku bukanlah pengguna tren setiap masa, lagipun aku ke tempat kerja menaiki motosikal. Mungkin pihak yang berkenaan boleh memudahkan senario seperti ini. Pastinya kemudahan yang dicipta itu bertujuan untuk memudahkan.

Tidak jauh dari tempat itu, aku terlihat satu papan tanda yang ditulis dengan menggunakan cat merah atas papan. 'Parking RM3'.

Aku kemudiannya mengarahkan Encik Blacky untuk memasuki kawasan tersebut biarpun keadaanya bersebelahan dengan projek pembangunan yang belum siap. Encik Blacky akur dengan memanjat kawasan sedikit berbukit tersebut ditambah dengan jalan tanah tanpa tar.

"RM4 abang!" Terperanjat aku apabila didatangi seorang lelaki warga asing.

"Hari Ahad memang RM4 abang. Semua orang sudah tahu." Jawabnya apabila aku mempersoalkan papan tanda yang terpacak dipintu masuk kawasan parkir tersebut.

Mengenangkan cuaca agak panas, aku membayar dengan terpaksa.

Tanpa berlengah, kami meluru masuk ke stesen yang terbuka luas pintunya dan bermulalah pengembaraan pertama Aisya Maima menaiki tren.






Raut wajahnya terpampang teruja apabila melihat tren yang begitu panjang dan besar bergerak betul-betul hadapan matanya. Melompat-lompat Aisya Maima seolah-olah mahu menerkam tren tersebut. Nasib baik aku mendakapnya dengan penuh erat. :p




Kami beruntung kerana pada ketika itu orang tidak terlalu ramai dan dapat melabuhkan punggung di bahagian paling hadapan tren. Tetapi Aisya Maima enggan duduk pada mulanya kerana teruja untuk menjadi pemandu tren.




Stesen demi stesen dan orang mulai ramai memenuhkan perut tren. Kami kemudiannya keluar apabila destinasi yang dituju sudah sampai - Pasar Seni.




 Kedua-dua perut aku dan isteri sudah menyanyikan lagu keroncong rentak Irama Malaysia dan tiba masa untuk menjamu selera. Begitu juga dengan Aisya Maima, barangkali penat memandu tren. Sempatlah Aisya Maima berehat seketika di dalam bangunan Pasar Seni sebelum menyambung semula pengembaraannya.




Hampir dua jam kemudian, kami meneruskan perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan sama, LRT. Destinasi seterusnya ialah ke Masjid Jamek untuk menukar laluan menuju Sentul Timur.

Dalam perjalanan, kami didatangi seorang lelaki muda dengan wajah yang sangat penat, muka dan baju dibasahi peluh.

"Bang, macam mana nak pergi ke TBS (Terminal Bersepadu Selatan)." tanyanya sambil memikul beg besar.

Aku dan isteri memberitahu laluan yang sepatutnya beliau gunakan.

Spontan isteri mengatakan kepadaku, "Kasihannya dia, mesti tengah kejar bas."

Aku juga merasakan perkara sama. Apa yang dapat aku simpulkan, kemudahan-kemudahan seperti papan tanda yang terdapat di sini masih belum berjaya memainkan peranannya dengan baik. Ianya pasti tidak mengundang masalah kepada pengguna tetap tetapi memberi kesan kepada pengguna baharu yang lain.

Mungkin ramai yang sedia maklum, stesen di Masjid Jamek mempunyai banyak tangga. Malangnya pada hari tersebut, eksklator tidak berfungsi. Terlihat seorang warga emas dengan penat lelah memanjat tangga-tangga berkenaan. Setidak-tidaknya tempatkanlah pegawai seorang dua di setiap lokasi untuk membantu golongan yang memerlukan.

Aku memandang perkara ini positif, mungkin kejadian pada hari itu sesuatu yang terlepas pandang atau barangkali ramai 'staff' yang bercuti. Iyalah, hari Ahad.

Dari Masjid Jamek, kami menukar tren untuk menuju ke stesen Titiwangsa. Di Titiwangsa, kamu kemudiannya menggunakan perkhidmatan Monorel untuk ke Bukit Bintang.








Sungei Wang Plaza pula menjadi destinasi perhentian kami untuk bersiar-siar sebelum kembali pulang dengan menggunakan perkhidmatan sama, Monorel - STAR - Putra - Encik Blacky.

Sepanjang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam ini, aku secara peribadi berasa cukup berpuas hati kerana ketepatan masanya. Pengguna tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menaiki tren. Dalam masa sama, apa yang membuatkan kami berasa selamat ialah apabila melihat kelibat anggota pasukan keselamatan di setiap stesen bagi menjaga keselamatan awam.


Selain itu, aku dan isteri terutamanya sangat berterima kasih kepada pengguna perkhidmatan awam yang hari ini semakin matang dan prihatin. Boleh kata, semuanya menawarkan tempat duduk kepada kami. Tetapi terpaksa menolaknya dengan baik kerana Aisya Maima lebih suka untuk menjadi pemandu tren.

#KisahAMMZ

No comments:

Post a Comment