Siapa tak kenal restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng @ Bukit Bintang.
Serong sekolah, santai hujung minggu... sinilah antara 'port' rasmi. Sejak 'budak sekolah' sampailah dah kahwin, anak dua, saya masih mengunjungi restoran ini. Rasanya masih sama, masih sedap seperti dulu.
Tapi saya tak berminat nak menulis pasal keenakan makanan di sini. Sebaliknya saya nak kongsikan 60 minit saya bersama Pakcik Pagoda Putih (PPP).
Siapa tak kenal pakcik ni yang masih kekal dengan pagoda putihnya.
Kira-kira 60 minit, kami berbual. Dalam masa singkat, banyak ilmu dan pengalaman yang beliau kongsikan.
Hidup kena jujur. Jangan ambil apa yang bukan hak kita.
TELEFON JUMPA
Beliau pernah menegur seseorang dalam ahli keluarganya yang seronok menggunakan telefon bimbit. Ketika ditanya berapa harga, dijawab percuma!
Rupanya telefon tersebut adalah telefon jumpa.
"Kalau saya tak ambil, nanti orang lain akan ambil juga."
Mengamuklah PPP. Katanya mana boleh macam tu. Kita kena ubah sikap sebegitu. Tak boleh ambil sesuatu yang bukan hak kita.
BEG
Seorang kenalannya pernah menceritakan kejadian yang berlaku di luar negara. Selepas 45 minit menaiki bas, baru perasan begnya tertinggal. Kenalannya itu memaklumkan kepada pemandu. Pemandu pula meminta izin kepada penumpang yang lain samada boleh atau tidak jika mahu berpatah semula.
Penumpang semuanya sebulat suara bersetuju. Setelah tiba, beg tersebut masih berada di situ! Inilah contoh yang patut diikut. Bukan saja individu tetapi seluruh masyarakat perlu satu hati mengubah mentaliti - Tidak ambil apa yang bukan hak kita.
PENDIDIKAN
PPP tekankan soal pendidikan. Dengan adanya pendidikan, negara dan masyarakat Malaysia akan lebih berjaya. Ini adalah kunci kejayaan. Pendidikan bukan mengenai akademik semata-mata tetapi pendidikan moral atau akhlak juga harus diutamakan. Orang yang berpendidikan tidak akan mengambil sesuatu yang bukan hak dia.
TOLONG ORANG
PPP menceritakan kisah seseorang yang datang menemuinya untuk mendapatkan bantuan - kewangan. PPP dimarah kerana cuba membantu orang bermasalah tersebut. Orang yang minta pertolongan itu dilabel sebagai ' orang tak guna', kaki judi dan sebagainya.
"Mana boleh. Kita mesti mau tolong. Kita mesti kasi dia peluang. Saya cakap sama dia, 'you nampak tak itu jalan (sambil tunjuk papan tanda tertera Jalan Bulan).
Situ tak boleh jalan bukan? Kalau you jalan juga, nanti depan mesti berlanggar pasal situ jalan 'one way'. You wrong way. You tau itu silap. Sekarang you undur dan ikut jalan betul. Jangan ikut jalan salah lagi.'
BAGI PELUANG
Hari ni, orang yang PPP tolong tu sudah berjaya. Tidaklah kaya tapi mampu menjalani kehidupan seperti orang biasa.
"Dia datang dekat saya minta tolong. Orang ada masalah. Tak boleh tolong banyak, kita tolong sikit. Macam-macam cara boleh tolong. Bukan tolong pakai wang saja. Tapi mesti mau tolong. Cuba you fikir, kalau saya tak tolong nanti dia fikir dia alone dalam dunia ni. Semua orang tak mau tolong dia. Can you imagine kalau dia bunuh diri. Apa you rasa?" kata PPP.
Sebenarnya, jika diteliti apa yang diperkatakan PPP ada dinyatakan dalam Al-Quran.
Selama 60 minit bersama PPP, ramai yang datang menyapanya. Banyak kali juga perbualan kami berdua terhenti seketika bagi memberi laluan kepada mereka.
"Ini orang sangat bagus. Sembahyang punya orang." Katanya kepada saya selepas seorang lelaki berjubah menegurnya. Lelaki tersebut datang ke restoran bersama dua wanita yang saya percaya isteri dan anaknya.
Ramai lagi yang menyapa PPP. Semuanya dilayan dengan penuh sopan dan hormat. Tidak hairanlah perniagaannya dikunjungi ramai dan mempunyai pelanggan tetap sejak berpuluh tahun.
Seperkara lagi. PPP memberitahu.
"Dalam banyak-banyak hal, utamakan pendidikan. Ada wang, mesti bagi untuk pendidikan. Ada wang lebih mesti simpan. Beli apa yang penting. Baju masih boleh pakai apa pasal mau beli baju baru? Kita mesti jimat.
"Hidup mesti banyak tolong orang baru happy. Apa guna wang banyak tapi hati tak happy? Nanti mati wang tak boleh bikin apa. Tapi kalau tolong orang, orang mesti ingat kita. Kita mati pun orang masih ingat."
Itulah sedikit sebanyak perkongsian yang saya dapat kongsikan. Selebihnya biarlah ia kekal dalam memori berharga.
Saya rasa sangat bertuah kerana dapat menimba banyak ilmu kehidupan hari ni. Semoga tulisan ini dapat memberi ingatan kepada diri saya sendiri dan manfaat kepada semua.
Alif Mustapha
20 Oktober 2017
No comments:
Post a Comment