Pages

Saturday, October 31, 2015

30 minit bersama Lelaki RM4

Gambar hiasan. ‘Drug Addicted Man by John Takai

Berdasarkan kisah sebenar.

Macam biasa, waktu rehat tengahari aku keluar dari pintu pejabat menuju kedai makan. Biasa hari Jumaat aku makan di gerai Masjid Negara ataupun medan selera Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, berhadapan dengan Masjid Negara. Senang, sekali parking boleh buat dua perkara – Makan dan solat Jumaat.

Tapi hari ini aku saja ubah angin. Makan di gerai yang terletak sekitar Perkim. ‘Zaaassss…’ meluru aku masuk petak tempat kereta yang kosong. Jenis aku tak kisah makan di mana sekalipun, hotel 80bintang mahupun gerai tepi jalan. Asal senang parking kereta powerku – Blacky.



“Nasi ayam satu, ‘tewo’ (teh O) suam satu, makan.” Pesan aku pada seorang pakcik peniaga sambil berjalan dari kereta menuju tempat duduk. Gaya ‘order’ macam ‘regular customer’ padahal itulah kali pertama aku singgah disitu. Alif – maksud nama ini ialah ‘friendly’, mudah mesra dengan orang. Patutlah… hehehe

Macam biasa juga, perkara pertama aku akan buat ketika mula melabuhkan punggungku yang pejal di kedai makan ialah mencampak segala macam benda dalam poket ke atas meja. (kecuali dompet). Barulah selesa…

Ini termasuklah seperti kunci kereta, telefon bimbit dan keretek (entah tahun bila dapat berhenti menyedutnya).

Melirik-lirik mata memandang bukanlah tabiat aku. Apatah lagi ‘mencuci mata’ gadis-gadis di sekeliling dan mereka yang lalulalang. Ya, ini bukan tabiat aku, baik ketika keluar bersama isteri ataupun berkeseorangan. Hari ini aku seorang diri. Isteri masih berpantang di rumah bonda. Dan aku masih tidak berminat untuk melirik lirikkan mata. Betullah, takkan tipu pulak…

Cuma… aku terpandang ke meja sebelah punya sebelah. Kira selang satu meja. Kelihatan 3 orang gadis baharu saja mahu menjamu selera. Aku bukan ‘usha’ mereka pun… Cuma aku tertarik pada orang ke-4 dalam kumpulan mereka ketika itu.

Seorang lelaki berpakaian baju-T lusuh bersaiz ‘S’ sambil memegang tin milo yang sudah dibogelkan iklan jenamanya.

Tiada niat untuk memasang telinga tetapi deria kurniaanNya ini sememangya tajam sekalipun jarak diantara meja kami lebih daripada 5 langkah orang dewasa.

“Dik, bagilah lagi… Tak cukup ni,” kata lelaki tersebut dalam nada simpati.

Lebih 5 minit juga lelaki itu merayu. Mungkin atas faktor keselamatan dan privasi untuk menjamu selera, salah seorang daripada gadis itu dilihat menghulurkan beberapa helai not RM1.

Lelaki tadi kemudiannya meluru masuk ke dalam kedai yang tidaklah besar mana.

Ah! aku malas nak sambung adegan yang sinonim berlaku di sekitar ibukota ini. Lagipun makanan yang dipesan baharu sahaja tiba di depan mata.

Belum sempat suapan pertama ke mulut, lelaki tadi sudahpun singgah di meja aku.

“Tak ada… tak ada,” tegas aku apabila lelaki tersebut cuba menghampiri. Biasanya aku ‘berlembut’ dengan peminta sedekah tetapi dalam masa sama tidak kepada mat gian.

Tetapi lelaki ini jenis tak mahu mengalah. Maka bermulalah kisah dramanya…

“Bang… saya sakit. Perlukan kos perubatan. Kos perubatan itu berjumlah RM10. Sekarang saya ada RM6, tak cukup lagi RM4,” katanya.

Aku memang kenal dengan lelaki jenis ini. Ubat apa lagi bernilai RM10…

“Tak ada.” jawapan sama aku beri.

“Kalau macam tu tak apalah bang. Bagi saya rokok sebatang,” katanya sambil menjeling kotak rokok di atas meja.

“Aik? Tadi awak kata sakit. Orang sakit tak boleh hisap rokok.” balasku spontan.

“Tak apa bang. Sakit itu sakitlah. Tapi rokok nak kena hisap jugak.” menjawab mamat ni…

Aku pun memenuhi permintaannya.

Belum sempat dipelawa, lelaki ini terus duduk bersebelahan denganku. Aku membiarkan sambil melihatnya sedang menyalakan rokok yang diberi.

“Sudah makan?,” tanyaku.

“Belum.” balasnya.

Aku menyuruhnya memesan makanan dan tidak perlu risau tentang bayaran. Lagipun, lebih baik belanjanya makan minum daripada hulur duit yang kita pasti menguntungkan pengedar bahan terlarang tersebut.

“Tak apalah bang. Saya minum saja,” katanya sambil memesan air horlicks ais.

Lelaki ini kelihatan tidak berpuas hati dengan aku. Mungkin sebab aku tak baginya baki kos perubatan berjumlah RM4.

“Abang kerja apa?” lelaki ini sedang berusaha mendapatkan not RM4 daripadaku.

“Cuba teka,” aku memang suka permainan teka teki ni.

“Tengok pada ‘dressing’, saya rasa abang ni polis,” lelaki ini meneka sambil memerhati aku atas bawah. Berkepala botak dan berkasut hitam muncung buaya.

“Salah,” jawabku.

“Habis tu abang kerja apa? Abang pakai handphone, ni kunci kereta… (sambil memegang kunci keretaku). Makan kat kedai… Mesti abang ada duit.”

Sungguh licik permainan beliau.

“Macam mana awak tahu saya ada duit? Tu tengok handphone tu pun dah retak. Kalau saya ada duit dah tentu saya baikinya.”

Jelas kat sini, aku lagi licik dari dia.

Lelaki itu diam membisu. Dipejamkan matanya sambil mulut terkumat kamit seperti membaca sesuatu. Aku membiarkannya sahaja.

Celik saja, matanya tertumpu pada handphone aku di atas meja. Aku masih membiarkannya. Difikirkan dengan rasa prasangka, nampak beliau macam mahu mengambilnya. Tidak mengapa, aku yakin boleh mengejarnya jika handphone itu hendak dicuri. Aku memegang rekod Naib Johan dalam acara lumba lari 100meter semasa sekolah rendah dulu. Apadahal…

“Awak tak bekerja ke?” Soalku untuk hentikan tenungannya itu.

“Saya bukan tak nak kerja bang. Dah banyak tempat saya pergi tapi dia orang tak mahu ambil saya bekerja. Iyalah abang tengok keadaan saya pun abang mesti tahu. Saya ni baru keluar penjara bang. Sebab mencuri.” katanya.

Memang patut pun aku berwaspada dengan tenungannya itu tadi… Sementara perbualan kami diteruskan…

Aku : Habis tu sekarang awak masih mencuri ke?

Lelaki RM4 : Tak dah lama saya berhenti bang.

Aku : Bagus. Kita hidup ni kena rajin. Tak kisah kerja apa asal rajin.

Dah mula sesi berceramah aku… Entah, tiba-tiba je aku jadi penceramah masa tu. Tak tahu la pulak tukang masak letak apa dalam makanan aku.

Aku : Tu kt Chow Kit, banyak peniaga cari pekerja. Kita kena rajin dan jangan putus asa.

Lelaki RM4 : Saya ni dulu hisap dadah bang.

Tiba-tiba dia mengaku, walaupun sekali imbas kita sedia tahu yang lelaki ini sememangnya tergolongan dalam kumpulan itu.

Aku : Sekarang hisap lagi tak? (Aku cuba menduga)

Lelaki RM4 : Tak bang… Dah berhenti lama juga. Itulah, semua tak nak ambil saya bekerja. Siapa yang nak ambil penagih dadah.

Aku : Kalau tak, baguslah. Sebab tu kita kena usaha. Berlambak lagi tempat kerja kat KL ni. Ada 10 tempat kerja, yang tolak awak baru 1. Jadi ada 9 lagi tempat kerja yang lain. Jangan putus asa. Habis tu sekarang awak buat apa kalau tak kerja?

Lelaki RM4 : Ni saya jual tin. (Sambil tunjuk setin dua tin terpakai)

Aku : Ini pun kerja juga. Kena la rajin. Saya ada kawan yang kerjanya kutip tin. Dia tak mencuri, tak hisap dadah tapi rajin bekerja – kutip tin. Awak pun boleh buat dan buatlah bersungguh-sungguh pasti berjaya.

Lelaki RM4 diam membisu. Seolah-olah faham benar dan menerima kata-kata yang aku sampaikan.

Aku : Ni hari Jumaat, jom kita pergi solat.

Lelaki RM4 : Saya ni tak boleh solat bang. Saya tak reti.

Aku : Belajarlah.

Lelaki RM4 : Pakaian saya kotor bang, koyak lagi.

Aku : Kat masjid ada sediakan kain bersih dan elok.

Lelaki RM4 : Saya tak reti solat bang. Tapi nasib baik saya masih hafal kalimah syahadah. Cuba abang dengar… (katanya sambil mengucap).

Lelaki RM4 : Betul tak bang?

Aku : Alhamdulillah, betul. Awak tak tahu solat, kena belajar. Solat itu penting kita sebagai orang Islam.

Lelaki RM4 terdiam manakala jam menunjukkan arah 1pm lebih menghampiri masuknya waktu Zohor.

Aku : Oklah saya nak gerak dulu.

Dan aku pun masuk ke dalam kedai untuk membuat bayaran – meninggalkan lelaki tersebut.

Sementara lelaki itu sempat berkata,

“Bang, RM4 bang.”

Aku tetap menggelengkan kepala tanda enggan memberi. Juga sebagai tanda aku tidak menggalakkannya serta tidak menyokongnya untuk membeli ‘ubat’ yang mudarat, ubat yang menghumbannya kepada kebinasaan.

Aku hanya berpeluang sedekah kepadanya kurang daripada RM4 – air horlicks aisnya. Tinggal lagi, siapa yang seterusnya yang akan mendampingi lelaki ini? Mungkinkah Jabatan Agama Islam? Pihak yang akan menguruskan jenazahnya disaat penghujung kehidupan beliau sebagai Lelaki RM4.

Alif Mustapha
16 Oktober 2015
Gerai Perkim, KL.

No comments:

Post a Comment